BALIK PULAU – Seorang warga emas dikenakan hukuman denda RM100 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menyebut perkataan bom yang kononnya terdapat dalam bagasi milik rakannya, Selasa lalu.
Tertuduh, Ng Kok Yeow, 64, membuat pengakuan tersebut selepas mengaku faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah dengan sengaja memaklumkan kepada seorang petugas Malaysia Airlines bahawa terdapat bom dalam beg rakannya semasa berada di kaunter daftar masuk, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, kira-kira pukul 10.30 malam, 11 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dengan memperuntukkan denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hazarul Iqram Rozahan.
Dalam prosiding tersebut, Lushani memohon mahkamah menawarkan hukuman denda maksimum terhadap tertuduh berikutan perkara tersebut amat sensitif dan tidak boleh dijadikan bahan gurauan.
Bagaimanapun, Hazarul pula merayu hukuman minimum dikenakan terhadap anak guamannya kerana dia perlu menanggung keluarga dengan memperoleh pendapatan bulanan RM1,000.
Mahkamah kemudiannya menetapkan denda sebanyak RM100 terhadap tertuduh.
Kol Yeow yang ditemani dua rakannya telahpun membayar denda yang dikenakannya itu pukul 10 pagi tadi.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warga emas yang bergurau kononnya bagasi rakannya mengandungi bom membawa padah apabila dia ditahan polis di LTAPP, Bayan Lepas, Selasa lalu.
Lelaki tersebut bersama rakannya berusia 60 tahunketika itu dijadualkan menaiki penerbangan ke Guangzhou di China. – KOSMO! ONLINE