KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan penemuan mayat lelaki dalam sebuah kenderaan di tempat letak kenderaan Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang tular di media sosial sejak semalam merupakan kes lama yang berlaku pada Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung penemuan mayat itu pada pukul 5.07 petang, 25 Januari lalu.
Katanya, siasatan dijalankan oleh pihaknya dengan bantuan pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.
“Mayat magsa dihantar ke Jabatan Forensik dan Patalogi, Hospital Kuala Lumpur dan bedah siasat juga telah dijalankan.
“Kita masih menunggu laporan penuh makmal. Tiada sebarang unsur jenayah dalam kes kematian lelaki itu dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya di media sosial.
“Orang ramai diminta agar tidak mengeluarkan komen yang boleh mengguris perasaan ahli keluarga dan waris serta menjurus kepada perlanggaran undang-undang penyebaran kandungan jelik di media sosial.
“Tindakan akan diambil ke atas mana-mana pihak yang terlibat seperti diperuntukkan undang-undang,” katanya.
Sebelum ini, tular di aplikasi TikTok berhubung penemuan mayat seorang individu di dalam sebuah kereta di parkir di KLCC. – KOSMO! ONLINE
@rizwankamarulzaman 25/01/2025 pengalaman jumpa mayat dalam kereta #prihatin ♬ original sound – AbangPublic