PETALING JAYA – Setiap kali selesai menunaikan solat tarawih yang secara kebiasaannya dilakukan antara 11 hingga 21 rakaat termasuk witir, para jemaah akan merasa lenguh di beberapa bahagian anggota badan.
Bagi melegakan rasa kurang selesa itu, pengurusan Masjid Taman Semarak, Nilai di Negeri Sembilan tampil mengajak para jemaah melakukan sesi mengurut selepas selesai solat tarawih.
Menerusi perkongsian di TikTok @hafif_bukhari, jemaah yang terdiri daripada golongan dewasa dan kanak-kanak dilihat saling membantu melegakan keletihan dengan sesi mengurut santai dengan cara menepuk di bahagian bahu serta belakang badan rakan di sebelah.
“Pejuang lapan lega badan, pejuang 20 lega jiwa,” kata pemilik akaun tersebut.
Telatah comel tersebut turut mendapat perhatian netizen dan ramai yang memuji tindakan pengurusan masjid melakukan senaman ringan itu bagi merapatkan ukhwah para jemaah.
“Masya-Allah apa yang comel sangat ini. Terbaik,” puji Nazrahtul Syuhada.
“Patutlah bapa aku balik lambat je selalu,” seloroh Anis.
“The real (ini sebenarnya) tarawih. Tarawihkan maksudnya berehat sebab batas waktunya yang panjang dan boleh rehat diantaranya,” kata Prince Farma. – KOSMO! ONLINE