IPOH – Seorang pembantu perikanan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu program latihan praktikal sangkar laut yang tidak wujud, lapan tahun lalu.
Tertuduh, Muhamad Hafizul Abdul Hamid, 43, juga berdepan hukuman penjara satu bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.
Mengikut pertuduhan, penjawat awam yang bertugas di Kolej Perikanan Malaysia Lumut itu didakwa telah memperdaya Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Matang, Nora’ Ashikin Hussain untuk mendorongnya menyerahkan wang tunai sebanyak RM17,413 melalui Noorhafiza Ismail@Semail.
Wang itu merupakan pendahuluan bayaran bagi penyediaan perkhidmatan latihan praktikal sangkar laut untuk pelatih Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Akuakultur Marin Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Lumut yang dijadualkan pada 24 hingga 30 September 2017sedangkan latihan amali dan lawatan ke Widad Akuakultur Sdn. Bhd. di Pulau Langkawi, Kedah itu tidak dijalankan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Kompleks Perikanan Kampung Acheh di dalam daerah Manjung pada 21 September 2017.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shahrul Azuan Ghazali dan Mohd. Afiq Mohd. Adnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE