KLANG – Polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan sekumpulan individu menceroboh dan mengambil kenderaan tanpa kebenaran daripada sebuah syarikat perkapalan di Kota Bayu Emas, Pendamar di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing berusia 44 tahun yang juga pengarah syarikat itu, pukul 6.24 petang.
Jelas beliau, pengadu memaklumkan sekumpulan lelaki datang ke salah sebuah parkir dan mengeluarkan 28 buah kereta yang masih menunggu keputusan mahkamah berkaitan tuntutan pihak insurans.
“Siasatan mendapati syarikat itu membawa 1,517 kenderaan menaiki sebuah kapal dari Pelabuhan Klang ke Kota Kinabalu, Sabah namun mengalami kebakaran ketika dalam perjalanan penghantaran tersebut.
“Pihak penyelamat laut kemudian memadam kebakaran dan menyelamatkan sejumlah besar muatan kapal termasuk kenderaan yang dibawa ke parkir itu untuk disimpan,” katanya, malam ini.
Menurut Hoong Fong, siasatan lanjut mendapati beberapa kenderaan yang dibawa syarikat perkapalan itu tiada mempunyai insuran pelayaran.
Justeru, katanya, syarikat itu mengkehendaki semua pemilik kereta membayar sejumlah wang kepada syarikat perkapalan bagi menampung kos perkhidmatan pihak penyelamat laut sebelum diserahkan semula kepada pemilik.
“Pemilik-pemilik yang tidak berpuas hati kemudian memohon bantuan pertubuhan Semboyan Malaysia untuk mengeluarkan kereta itu.
“Walaupun ada beberapa siri perbincangan, syarikat itu tidak bersetuju menyerahkannya sehingga mendapat keputusan mahkamah,” ujarnya.
Tambah beliau, sekumpulan lelaki kemudian memasuki kawasan parkir kereta untuk mengambil kenderaan tanpa kebenaran, kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Ujarnya, semua individu yang terlibat akan dipanggil bagi direkodkan percakapan dan keterangan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh.
Terdahulu, media melaporkan pemilik kapal, MV Malaysia Star membuat laporan polis terhadap Semboyan Malaysia selepas mendakwa pihak berkenaan menceroboh dan mencuri beberapa kenderaan, semalam. – KOSMO! ONLINE