fbpx

Rugi lebih RM500,000 perabot jualan Aidilfitri hangus dijilat api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Fitri hanya mampu melihat premisnya yang terbakar dalam kejadian di Jalan Nara, Pasir Puteh hari ini. - Foto oleh TOREK SULONG / KOSMO!

PASIR PUTEH – Seorang peniaga hanya mampu berputih mata apabila mengalami kerugian lebih RM500,000 selepas perabot yang akan dijual untuk Hari Raya Aidilfitri di premisnya hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran di Jalan Nara, di sini hari ini.

Kebakaran kira-kira pukul 1.15 tengah hari itu dipercayai tercetus dari sebuah kedai tayar berhampiran Masjid Jamek Ibrahimi sebelum merebak ke kedai perabot Norizan Home Center (NHC) yang baru dua bulan beroperasi.

Pemilik NHC, Mohd. Fitri Aziz, 27, berkata, pelbagai jenis perabot termasuk sofa dan barangan kayu jati yang terbakar dalam kebakaran itu untuk jualan menjelang Aidilfitri.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi rakannya sementara menunggu waktu solat Jumaat pada pukul 1.15 tengah hari.

“Saya bergegas ke lokasi kejadian dari Alor Hijau, Pasir Puteh dan mampu menyelamatkan beberapa unit perabot hasil bantuan orang ramai.

“Kebakaran itu membabitkan kebanyakan perabot yang baru sampai pada Khamis lalu. Rasa luluh hati menerima dugaan ini apabila baru membuka perniagaan pada awal Januari lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Adni Ibrahim berkata, kebakaran itu memusnahkan 90 peratus bahagian sebuah kedai tayar.

“Kebakaran itu turut melibatkan kedai perabot bersebelahan yang terbakar 90 peratus. Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI