JOHOR BAHRU – Seorang pesara kerugian sebanyak RM2.33 juta selepas terperdaya dengan tawaran pelaburan saham tidak wujud yang diterima menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, lelaki tempatan berusia 62 tahun semalam.
Katanya, mangsa mendakwa menerima tawaran pelaburan saham itu daripada individu tidak dikenali menerusi WhatsApp.
“Mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dan diberikan pautan laman sesawang kononnya digunakan untuk melihat keuntungan dan mengendalikan pelaburan tersebut.
“Tertarik dengan keuntungan sehingga AS$8 juta (RM37.2 juta), mangsa kemudian melakukan sebanyak empat transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun bank tempatan berjumlah RM2,336,000 sejak 27 November 2024 sehingga 4 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata, mangsa hanya menyedari dia ditipu apabila keuntungan yang dijanjikan gagal dikeluarkan, malah warga emas itu turut didesak untuk membuat menambah pelaburan. – KOSMO! ONLINE