BAGAN SERAI – Perancangan kerajaan untuk melaksanakan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah kini berada di peringkat akhir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaannya nanti akan membantu mengatasi masalah bekalan air di Kerian selain menyokong projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).
“Rancangan kita di peringkat akhir, untuk tambah keupayaan Sungai Perak dan buat saluran dia terus ke Bukit Merah dan seterusnya ke Kerian.
“Jadi bekalan air utamanya bukan sahaja di kawasan KIGIP, kawasan pembangunan baharu tetapi juga di seluruh daerah ini dan dari situ, sampai ke Seberang Perai,” katanya ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di Sekolah Kebangsaan Dato’ Alauddin di Selinsing di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau mengunjungi Bazar Ramadan Rahmah Kamunting sebelum mengunjungi lokasi Program Sejati Madani di Kampung Tebuk Haji Dollah di Selinsing. – KOSMO! ONLINE