ALOR SETAR – Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar mengakui telah berbincang dengan pelbagai pihak untuk menjadi penyelamat kepada pasukan itu sama ada sebagai pemilik saham atau penaja.
Kata beliau, pihak pengurusan juga sentiasa berkomunikasi dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) secara jujur dan terbuka bagi memastikan skuad Sang kenari terus relevan dalam kancah bola sepak Malaysia.
Menurutnya, KDA FC ketika ini mengambil pendirian untuk lebih fokus kepada isu-isu dalaman kelab yang melibatkan kebajikan pemain, pegawai dan staf berbanding melayani isu tular terhadap pasukan.
“Memang tak mampu nak tunaikan semua tanggungjawab kewangan. Saya hanya lakukan apa yang termampu. Saya hanya keseorangan, yang menjadi penguat serta inspirasi saya adalah barisan staf, pegawai pasukan, pemain-pemain serta keluarga mereka yang masih setia berjuang bersama saya.
“Ramai dah hilang. Di masa kita duduk di bawah, ramai tak nak bantu malah untuk bertanya khabar sekali pun. Inilah lumrah kehidupan, yang ada hanyalah laporan media yang kadang-kadang tidak membina,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Daud mendedahkan sudah beberapa kali membuat rayuan kepada semua pihak agar membantu KDA FC dengan apa sahaja cara dan jumlah bantuan sekali pun.
“Saya akan terus membuat seruan dan rayuan ini. Setiap daripada kita datang dan pergi tetapi biarlah pasukan keramat kita kekal buat selamanya jika diizinkan Allah.
“Apabila berlaku sesuatu isu yang tular tentang kelab, ramai akan bertanya apakah respon kelab, apa yang kelab telah lakukan dan apa pemilik telah buat. Jarang orang tanya apa yang peminat, penyokong dan warga Kedah lakukan.
“Memang kami penat sekarang. Semua penat. Tetapi mana ada kejayaan tanpa rasa penat. Kalau boleh, setiap orang dalam kalangan kita yang sayangkan KDA FC kena rasa penat juga untuk sama-sama membantu kelab,” katanya. – KOSMO! ONLINE