PETALING JAYA – Seorang pelajar cedera selepas ditumbuk berkali-kali oleh seorang pemandu gara-gara berselisih faham ketika di atas jalan raya.
Melalui satu hantaran dikongsi di Facebook Kamarul Mansor, kejadian itu berlaku selepas solat Jumaat di Saujana Impian, Kajang, tengah hari tadi.
Katanya, tiada kemalangan berlaku namun pemandu lelaki berusia 40-an itu dikatakan tidak berpuas hati dengan pelajar terbabit dan bertindak menumbuk pelajar tersebut sehingga menyebabkan hidungnya berdarah.
“Seorang lelaki berusia 40-an bertindak ganas dengan menumbuk seorang pelajar sekolah bertubi-tubi hingga patah hidung hanya kerana berselisih semasa masuk simpang.
“Tiada kemalangan berlaku, tetapi tindakan keganasan ini tidak boleh dibiarkan,” tulis hantaran itu.
Video memaparkan keadaan pelajar tersebut berlumuran darah di bahagian hidung turut tular di media sosial dan mendapat perhatian pempengaruh dan penyanyi rap, Caprice.
“PDRM, cari orang ini. Mana boleh suka-suka hati belasah budak,” katanya.
Tinjauan di ruang komen mendapati, rata-rata pengguna mengecam tindakan lelaki tersebut dan menggesa pihak berkuasa mengesan lelaki tersebut.
“Harap dia ditangkap, walaupun pelajar itu bersalah, keganasan bukan jalan penyelesaiannya,” kata Azizi.
“Bukti dah lengkap, buat laporan polis. Beraya dalam lokap jawapnya, semoga dipermudahkan segala urusan pelajar tersebut,” kata Noraede.
“Bulan puasa, tetapi tidak dapat mengawal amarah. Sampai berdarah-darah hidung budak itu,” kata Mike. – KOSMO! ONLINE