KUALA LUMPUR – Selebriti popular, Neelofa mengakui pernah berniat ponteng solat tarawih, namun bersyukur suaminya Haris Ismail sentiasa memastikan dia tetap ke masjid.
Ujar Neelofa atau nama lengkapnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 36, suaminya tidak pernah berhenti mengingatkan tentang kepentingan solat sunat tersebut sepanjang Ramadan.
“Satu perkara yang pasti, memang ada hari saya cuba nak ponteng tarawih tapi Haris akan ceramah dekat saya setiap masa.
“Kalau saya cakap tak larat pergi, dia tetap ajak juga.
“Haris akan sentiasa ingatkan dan pastikan saya pergi,” dedahnya menerusi satu video dalam TikTok.
Berkongsi lanjut, bekas pengacara MeleTOP itu sebenarnya lebih selesa beribadah pada waktu malam, namun tetap berusaha menunaikan solat terawih.
“Saya lebih suka bangun malam.
“Tapi terawih ini tiada di bulan lain, jadi kena cuba buat dua-dua,” jelasnya.
Sementara itu, Haris atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd. Ismail, 29, menekankan kepentingan memanfaatkan Ramadan sebaiknya kerana bulan mulia itu datang dalam tempoh yang singkat.
Tambahnya, Ramadan juga waktu terbaik untuk menjaga kesihatan secara menyeluruh, termasuk aspek fizikal dan spiritual.
“Kita kena fikir, masa ini singkat.
“Kalau ada pemikiran sebegitu, orang yang kita ada masalah pun boleh jadi baik,” tegasnya.
Pendedahan Neelofa mengenai peranan suaminya mendapat reaksi positif netizen yang rata-rata memuji Haris sebagai suami yang berusaha membimbing isteri ke arah kebaikan.
Neelofa dan Haris berkahwin pada pada 27 Mac 2021.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Bilal, 3 dan Abdullah Abbas, 2. – KOSMO! ONLINE