ARAU – Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) kini berada di barisan hadapan dalam memperkasa bidang kecerdasan buatan (AI) serta meningkatkan bekalan jurutera negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebagai salah satu daripada enam universiti MTUN telah memainkan peranan penting dalam inisiatif itu.
Katanya, ia menerusi penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI), sekali gus mengukuhkan kedudukan negara dalam pembangunan teknologi masa depan.
“Kita ada enam universiti MTUN dan saya telah mengkoordinasikan mesyuarat dengan MTUN bagi memastikan tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan terus dibekalkan.
“Negara kini masih memerlukan kira-kira 60,000 orang jurutera dalam pelbagai bidang,” katanya ketika sidang akhbar di kampus utama UniMAP, di sini hari ini.
Terdahulu Ahmad Zahid dalam lawatan kerja sehari ke Perlis turut membincangkan mengenai keperluan bakat dan Advanced Packaging bersama pengurusan UniMAP dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA). – KOSMO! ONLINE