fbpx

‘Lenggok ini bukan dibuat-buat, dah memang darah daging’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Umai menafikan tuduhan sebilangan pihak kononnya dia meniru gaya nyanyian Biduanita Negara, Siti Nurhaliza. – IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Sering dikritik, penyanyi Umairah mengakui tidak mudah terkesan dengan komen negatif yang dilemparkan netizen sebaliknya menjadikan semua itu sebagai pembakar semangat dalam perjalanan seni.

Ujar Umairah atau Ummi Umairah, 14, dia sudah terbiasa dengan kritikan kerana sejak kecil dirinya sudah terdedah dengan dunia hiburan.

“Biasalah, mulut orang tak boleh ditutup. Tapi lama-lama saya latih diri, jadi kuat.

“Saya suka baca komen netizen, walaupun ada yang mengecam, saya ambil sebagai semangat dan tidak fikir negatif,” katanya kepada Kosmo! Online.

Mengulas kecaman paling kerap diterima, Umairah berkata, ramai menuduhnya cuba meniru gaya nyanyian ibu saudaranya, Siti Nurhaliza.

Tegasnya, dia tidak pernah berniat meniru, namun faktor genetik menyebabkan suaranya mempunyai persamaan dengan Biduanita Negara itu.

“Sejak awal menyanyi, orang sudah kata saya tiru Mak Iti (Siti Nurhaliza). Tapi mereka tak tahu, Mak Iti sendiri yang banyak menyokong saya.

“Bukan saya nak tiru, tapi nak buat macam mana, sudah darah daging. Lenggok suara ini bukan dibuat-buat, memang semula jadi,” ujarnya.

Pun begitu, Umairah sangat bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada keluarga yang sentiasa menjadi pendorong utama.

“Ibu (Siti Saerah) selalu pesan supaya tak ambil pusing apa orang kata. Nenek pula tak bagi saya baca komen negatif. Tapi saya degil, tetap nak baca.

“Makin lama, makin biasa. Kalau ada komen yang terlalu menyakitkan hati, saya ‘block’ sahaja,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Umairah meluahkan rasa terharu kerana single pertamanya Tak Balik Raya sudah dilancarkan dan mendapat maklum balas positif.

Katanya, dia tidak berdepan kesukaran merakamkan lagu tersebut dan hanya mengambil masa 30 minit untuk menyelesaikan sesi rakaman.

“Saya bersyukur kerana lagu ini mendapat sambutan baik.

“Ini memberi saya lebih semangat untuk merakamkan lebih banyak lagu baharu,” katanya.

Sebagai rekod, awal Januari lalu, Umairah yang juga juara World Championships of Performing Arts (WCOPA) 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat, menjadi artis pertama di bawah naungan SN Legacy Sdn. Bhd. milik Siti Nurhaliza dengan kontrak selama lima tahun. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI