SEPANG – Tindakan seorang pekerja kontrak Indonesia menyimpan lima ekor burung Sewah Tahu tanpa permit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) mengundang padah apabila dia didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman denda itu selepas tertuduh, Abdul Latif, 48, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda tersebut.
Abdul Latif didakwa menyimpan lima ekor burung Sewah Tahu atau Asian Koel (Eudynamys scolopaceus) iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Kedua, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Kesalahan itu dilakukan di Gate Q7, Pelepasan Antarabangsa Terminal 2, KLIA pada pukul 9 pagi, 10 Mac lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda minimum RM50,000 dan tidak lebih RM500,000 atau penjara tiga tahun.
Terdahulu, Abdul Latif yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman denda yang rendah kerana perlu menanggung empat anak dengan tiga daripada mereka masih bersekolah, manakala isteri tidak bekerja di Indonesia.
Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Suhaina Abd. Rashid bagaimanapun memohon mahkamah mempertimbang hukuman berat supaya mesej jelas dapat disampaikan kepada pesalah di luar sana bahawa perlindungan hidupan liar akan terus dilaksanakan tanpa kompromi.
“Kes ini membabitkan kepentingan awam memandangkan hidupan liar suatu yang perlu dipelihara. Ia khazanah berharga negara dan bernilai,” katanya.
Ketika ditanya Ahmad Fuad sama ada Abdul Latif mengetahui atau tidak mengenai denda minimum RM50,000, tertuduh tetap merayu hukuman denda yang ringan.
Ahmad Fuad menegaskan, mengikut undang-undang seksyen itu memperuntukkan denda minimum RM50,000.
“Undang-undang menyatakan denda minimum RM50,000, RM49,900.90 tidak dibenarkan dan perlu bermula RM50,000 ke atas. Saya perlu ikut undang-undang. Jika saya bagi denda RM5,000, itu tidak mengikut undang-undang,” kata hakim itu.
Mengikut fakta kes, pegawai penguat kuasa Perhilitan dan polis bantuan Malaysia Airport pergi ke pintu Q7, KLIA Terminal 2 dan mengarahkan tertuduh membuka satu bagasi plastik berwarna hitam yang didaftarkan miliknya.
Hasil pemeriksaan ke atas bagasi itu menemui lima ekor burung Sewah Tahu yang dikurung dalam lima bekas paip polyvinyl chloride (PVC). – KOSMO! ONLINE