PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selesai memberi keterangan selama hampir empat jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, sebentar tadi.
Beliau dilihat meninggalkan bangunan SPRM pada jam 12.30 tengah hari tadi dengan menaiki sebuah kereta mewah jenis Audi berwarna hitam, diiringi kenderaan peronda polis.
Sebaik keluar, Ahli Parlimen Bera itu sempat membuka tingkap kenderaannya sebelum melambai tangan kepada petugas media.
Menurut sumber, Ismail Sabri dijangka menyambung keterangan pada kira-kira pukul 3.30 petang ini selepas selesai solat Jumaat.
Terdahulu, Ismail hadir jam 8.46 pagi bagi dirakam keterangan berhubung kes rasuah serta pengubahan wang haram dihadapinya.
Rakaman percakapan itu diteruskan oleh SPRM selepas tempoh cuti sakit Ismail Sabri tamat pada Rabu yang sepatutnya dijadual hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 5 Mac lalu untuk memberi keterangan.
Namun, beliau tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan dan telah diberi sijil cuti sakit oleh doktor yang merawatnya.
Semalam Ismail Sabri turut hadir ke pejabat SPRM pada jam 9.45 pagi dan selesai memberi keterangan pada 3.13 petang.
Sebelum ini, SPRM mendedahkan, wang tunai RM170 juta dengan pelbagai mata wang serta jongkong emas ditemui di sebuah kondominium di ibu negara yang dipercayai dijadikan ‘safehouse’ oleh pembantu kepada bekas Perdana Menteri itu. – KOSMO! ONLINE