PETALING JAYA – Menyesal menjalani suntikan filler atau pengisi meruncingkan dagu, pelakon dan penyanyi Watie Sadali mengakui lama-kelamaan bahagian tersebut berubah sehingga membuatkan wajahnya kelihatan seperti ahli sihir.
Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali, 48, berkata dia yang terlampau mengikut trend suatu ketika dahulu kini terpaksa berulang kali menjalani prosedur mengeluarkan filler dengan menanggung kos lebih tinggi.
“Kesedaran untuk membuang ‘filler’ timbul selepas bentuk dagu saya mula berubah menjadi lebih panjang seolah-olah macam muka ahli sihir.
“Benda (filler) itu teruk kerana campur dengan yang tak asli jadi apabila guna bahan palsu pada muka, lama-kelamaan impaknya semakin ketara buruk.
“Memang menyesal. Sejak itu saya jumpa pakar untuk buang secara berperingkat dan kosnya sangat tinggi, boleh bayar wang pendahuluan beli kereta,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online pada majlis berbuka puasa Starvendors Mega Raya, baru-baru ini.
Menurut isteri kepada pelakon Joey Daud itu, dia berharap kesulitan akibat tidak berfikir panjang menjadi pengajaran kepada orang lain agar tidak melakukan kesilapan serupa sepertinya.
“Tolong bersyukur dengan kecantikan alami yang anda miliki, tetapi jika ingin juga buat rawatan kecantikan, pergi berjumpa pakar dan ke tempat yang betul.
“Kesannya sangat buruk. Ketika buat dahulu memang murah, ada suntikan yang tak sampai RM100 pun. Cuma sekarang kos untuk buang boleh cecah ribuan ringgit, bahkan bukan boleh buang sekali gus, kena berperingkat.
“Macam saya, kena jumpa doktor berulang kali untuk buang ‘filler’ yang masih bersisa sejak beberapa tahun lalu. Doktor cakap saya bernasib baik sebab suntik dagu sahaja. Kalau tempat lain lagi teruk impaknya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE