PONTIAN – Cubaan untuk menyeludup masuk 83,000 ribu benih udang kara oleh tiga lelaki tempatan berjaya dipintas dalam Op Khas Pagar Laut 1/2025 di perairan Tanjung Piai, disini, semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, pihaknya mengesan sebuah bot mencurigakan bergerak dari Batu Pahat menuju ke Gelang Patah.
Katanya, bot tersebut kemudiannya ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di kedudukan 0.1 batu nautika tenggara Sungai Boh bagi pemeriksaan lanjut pada pukul 2.30 pagi semalam.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut didapati membawa sejumlah 17 kotak polisterin yang mengandungi lebih kurang 83,000 benih udang kara bernilai hampir RM500,000 ribu.
“Bot terlibat dipercayai menyeludup masuk benih udang kara tersebut dari negara jiran ke negeri Johor tanpa kebenaran Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan disini, hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, tiga individu warga tempatan berumur diantara 30 hingga 33 tahun yang berada di dalam bot tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE