BEIJING – Sebuah zoo di China menerima kecaman ramai kerana mempamerkan seekor harimau kumbang yang mengalami obesiti, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Kejadian berlaku di Zoo Chengdu, wilayah Sichuan.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan haiwan itu berjalan dalam keadaan tercungap-cungap di dalam kandangnya.
Selain sukar untuk berdiri, ia terpaksa mengheret perutnya di atas tanah kerana saiznya terlalu besar.
Menurut pengurusan zoo berkenaan, fungsi badan dan metabolisme harimau kumbang betina itu merosot kerana usianya yang terlalu tua iaitu mencecah 16 tahun.
“Kami sedang mengurangkan jumlah makanan. Kami akan mula mengurangkan daging lembu dan lain-lain,” kata jurucakap Zoo Chengdu.
Segelintir pengunjung menyifatkan perbuatan zoo itu sebagai tidak berperikemanusiaan kerana sanggup membiarkan haiwan tersebut menjadi gemuk akibat diberi makan secara berlebihan.
“Tolong pastikan ia bersenam lebih banyak,” kata seorang pengguna media sosial. – AGENSI