SEREMBAN – Yayasan Matrix Concepts menyalurkan sumbangan keseluruhannya berjumlah RM20,000 kepada empat buah rumah kebajikan sempena Majlis Berbuka Puasa ‘Meraikan Kebaikan’ menerusi Program CSR Ramadan di Bandar Sri Sendayan di sini, semalam.
Empat buah rumah kebajikan itu terdiri Darul Asnaf Seri Tanjong (Kuala Pilah) ; Darul Asnaf Seri Sendayan (Bandar Sri Sendayan); Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan (Kuala Pilah) dan Bengkel Seri Sembilan (Bandar Sri Sendayan) dengan masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM5,000.
Pengerusinya, Datuk Noordin Mohd. Yatib berkata, kali ini seramai 152 orang anak-anak yatim, dewasa dan penjaga mereka dari empat buah rumah anak yatim tersebut diraikan.
“Sebagai cabang amal syarikat pemaju perumahan dan hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd. (Matrix Concepts) Yayasan terus komited untuk mengangkat masyarakat yang memerlukan.
“Seperti tahun-tahun sudah, program sebegini dapat memupuk semangat perpaduan dan muhasabah, disamping menghayati intipati Ramadan,”katanya kepada pemberita di sini.
Menurut beliau, pihaknya amat bersyukur kerana diberi peluang untuk berkongsi rezeki dan kegembiraan bersama anak-anak yatim dan penjaga dari empat buah rumah kebajikan ini.-KOSMO ONLINE