fbpx

‘Yassin balik sebelum raya, dia sudah tahfiz 20 juzuk al-Quran’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
APEK mengakui ada berbual dengan Yassin yang sedang ditahan di Arab Saudi menerusi aplikasi Zoom.

PELAKON dan pelawak Saiful Apek memaklumkan anggota Senario, Yassin Yahya yang ditahan di Arab Saudi bakal pulang ke pangkuan keluarga sebelum Aidilfitri.

Menurut Saiful Apek atau nama sebenarnya, Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 56, perkara tersebut telah disahkan sendiri keluarga Yassin.

“Sebelum ini kami berdiam diri kerana menghormati keluarganya, tetapi daripada maklumat keluarga katanya dia (Yassin) akan balik sebelum raya,” ujar Saiful Apek.

Sepanjang ditahan, kata Saiful Apek, dia sempat berbual sekali sahaja dengan Yassin menerusi aplikasi Zoom.

Bahkan melihat perkembangan sahabatnya yang semakin sihat dan dapat menghafal 20 juzuk al-Quran adalah sesuatu perlu disyukuri.

Difahamkan juga Yassin tidak ditahan dipenjara sebaliknya di sebuah pusat pemulihan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.

“Saya dapat cakap dengan dia sekali saja melalui Zoom. Dia sihat, dahulu saiz S sekarang sudah saiz M, kami pun gembira apabila dapat tahu cerita yang sebenar.

“Sebenarnya dia berada tempat pemulihan, di situ terdapat kedai runcit dan pelbagai kemudahan lain termasuk internet.

“Dia pun sudah tahfiz 20 juzuk al-Quran, dapat kursus percuma. Tidak ada perkara terjadi secara kebetulan jadi kita doa yang baik-baik,” kata Saiful Apek.

Dalam pada itu, sebagai sahabat Saiful Apek menyeru kepada orang ramai supaya berhenti membuat sebarang spekulasi berhubung penahanan Yassin di Arab Saudi.

“Saya dan Yassin sudah berkawan lama, mungkin dia tidak pandai mana, tetapi dia pun tidak bodoh.

“Di Arab Saudi kalau melibatkan kes-kes seperti ini (bahan terlarang) memang menjalankan hukum hudud. Tidak ada pelepasan dua sehingga tiga bulan, kita akan bawa balik kepala dia saja.

“Di sini saya hendak menyeru kepada semua pihak hentikanlah spekulasi, kita tunggu tuan empunya badan balik biar dia sendiri yang akan ceritakan apa yang berlaku sebenarnya sampai dia ditahan,” ujar Saiful Apek yang ditemui pada majlis sidang media filem 6 Jilake semalam.

YASSIN kini baik-baik sahaja dalam tahanan di Arab Saudi yang dijangka bebas sebelum sambutan Aidilfitri nanti.

Terdahulu, tanpa mendedahkan identiti media melaporkan seorang pelawak ditahan di Jeddah, Arab Saudi sejak Oktober tahun lalu atas kesalahan memiliki bahan terlarang iaitu dadah jenis ganja.

Pelawak itu dilaporkan sedang menjalani hukuman penjara selama enam bulan di negara itu.

Hukuman berkenaan dijatuhkan pada November tahun lalu dan berkemungkinan akan dibebaskan lebih awal daripada tempoh ditetapkan sekiranya berkelakuan baik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI