LEVERKUSEN – Harry Kane terus membuktikan dirinya sebagai penyerang berbisa apabila mencipta sejarah ketika Bayern Munich menewaskan Bayer Leverkusen 2-0 sekali gus memastikan tempat di suku akhir Liga Juara-Juara (UCL).
Penyerang England itu meledak gol pada minit ke-52 untuk mengumpul jaringan ke-10 dalam kempen Eropah musim ini iaitu rekod tertinggi buat mana-mana pemain England dalam satu musim UCL.
Kane telah menjaringkan 32 gol dalam 36 perlawanan untuk Bayern dalam semua pertandingan sekali gus mengekalkan momentumnya sebagai salah seorang penjaring terbaik Eropah sejak menyertai kelab Bavaria itu.
Memasuki perlawanan kedua dengan kelebihan selesa 3-0 hasil kemenangan di tempat sendiri minggu lalu, Bayern sekali lagi menunjukkan dominasi mereka ke atas Leverkusen ketika satu lagi gol berjaya dihasilkan oleh Alphonso Davies.
Skuad bimbingan Vincent Kompany tampil lebih agresif sejak babak pertama dengan Michael Olise dan Kingsley Coman hampir menjaringkan gol, namun percubaan mereka tersasar.
Kemenangan itu menyaksikan Bayern bakal berdepan Inter Milan di suku akhir, selepas juara Serie A itu menyingkirkan Feyenoord dengan perlawanan pertama dijadualkan berlangsung pada 7 atau 8 April dan aksi timbal balik seminggu kemudian. – AGENSI