BARCELONA – Meskipun Barcelona berada di landasan terbaik memburu tiga kejuaraan utama musim ini, jurulatihnya, Hansi Flick menegaskan masih terlalu awal untuk membicarakan peluang itu selepas menewaskan Benfica 3-1, sekali gus mara ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi semalam.
Menerusi kemenangan itu, Barcelona melebarkan rekod tanpa kalah kepada 17 perlawanan dalam semua pertandingan, selain mendahului LaLiga dan sudah menempah slot ke separuh akhir Piala Raja Sepanyol.
Bagaimanapun, Flick enggan terbuai dengan momentum positif tersebut, sebaliknya mahu anak-anak buahnya terus fokus kepada cabaran seterusnya.
“Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah memberi tumpuan kepada suku akhir dan bersiap sedia untuk menentang lawan yang bakal kami hadapi.
“Liga Juara-Juara adalah kejuaraan paling sukar untuk dimenangi. Sudah tentu, kami berharap dapat terus melangkah jauh dan cukup bagus untuk menjuarainya, tetapi perjalanan masih panjang,” kata Flick.
Dalam perlawanan di Camp Nou, Barcelona mempamerkan aksi bertenaga dengan membelasah Benfica menerusi dua gol Raphinha dan satu jaringan hebat oleh Lamine Yamal pada babak pertama melengkapkan kemenangan agregat 4-1.
“Saya gembira. Kami menghormati Benfica, mereka memberikan tentangan yang hebat dan menyukarkan kami, tetapi kami bermain dengan sangat baik. Saya bangga,” ujar Flick. – AGENSI