BANGKOK – Seorang pesohor TikTok yang pernah menjadi jutawan dan dikenali dalam program realiti televisyen kini meringkuk dalam penjara di Thailand, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Ellis Matthews, 32, yang berasal dari Lancashire, England dituduh tinggal di Thailand melebihi tempoh visa.
Polis menyerbu rumah Ellis di Pattaya dan menahannya kerana tinggal melebihi tempoh waktu yang dibenarkan.
Dia yang meninggalkan England empat tahun lalu menjadi sensasi internet melalui akaun TikToknya, @mumontheruninasia.
Ellis berkata, dia kini mengalami kehidupan yang suram di pusat tahanan Thailand.
Dalam satu hantaran TikTok, Ellis menunjukkan seorang banduan di dalam penjara dan sampah berselerak di atas lantai dengan kapsyen berbunyi: “Saya tidak kisah tentang diri saya tetapi tolong doakan anak saya.”
Anak lelaki Ellis yang berusia tiga tahun, Cairo, tinggal di Thailand bersamanya. – AGENSI