WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan bahawa tiada rakyat Palestin akan diusir dari Semenanjung Gaza yang dikepung oleh tentera Israel, lapor agensi berita Anadolu semalam.
Trump berkata, mereka tidak akan diusir walaupun beliau masih tetap akan meneruskan rancangannya untuk mengambil alih wilayah Palestin itu.
“Tiada siapa yang mengusir mana-mana rakyat Palestin,” kata Trump sebagai menjawab soalan wartawan ketika beliau menerima kunjungan Perdana Menteri Ireland, Micheal Martin di Pejabat Oval, White House.
Komen itu dibuat selepas Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich berkata bahawa Tel Aviv akan membuka pejabat Pihak Berkuasa Penghijrahan yang baharu di bawah Kementerian Pertahanan.
Smotrich berkata, pembukaan pejabat itu adalah untuk menguruskan pemindahan paksa penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza, demikian menurut beberapa laporan media.
Dia mendakwa rancangan itu mendapat sokongan pentadbiran Trump.
Menteri itu yang telah menafikan kewujudan rakyat Palestin berkata, Tel Aviv sedang bekerjasama dengan pentadbiran AS untuk menentukan negara mana yang akan menerima mereka selepas dipindahkan secara paksa dari Gaza.
Cadangan yang sangat kontroversi itu dibuat selepas Trump mencadangkan pada Februari lalu untuk mengambil alih Gaza dengan mengeluarkan rakyat Palestin dari tanah air mereka sebelum ditempatkan semula di lokasi lain. – AGENSI