PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meluluskan pinjaman kepada Sapura Energy Berhad (SEB).
Beliau pada sama turut mengucapkan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana pernah berkongsi cadangan yang baik membabitkan SEB sebelum ini.
“Terima kasih PMX (Anwar) kerana meluluskan pinjaman kepada Sapura (SEB) untuk menyelamatkan syarikat negara ini.
“Dan jutaan terima kasih juga kepada Datuk Seri Najib kerana berkongsi cadangan yang baik untuk kebaikan negara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Dr. Muhamad Akmal berkata, Najib memberi cadangan untuk memulihkan SEB ketika debat bersama Anwar beberapa tahun lalu.
Menurut beliau, antara cadangan itu adalah Petronas mengambil alih SEB dan SEB meminjam daripada bank dengan jaminan kerajaan.
“Alhamdulillah setelah dua tahun, cadangan itu telah dilakukan oleh PMX pada hari ini.
“Kita mohon juga agar audit forensik itu didedahkan kepada umum dan jika ada salah laku dari Sapura perlu dikenakan hukuman yang setimpal kepada mereka,” katanya.
Anwar hari ini menjelaskan, suntikan pelaburan sebanyak RM1.1 bilion kepada SEB bukan berbentuk dana hangus, sebaliknya pinjaman yang perlu dibayar semula.
Jelasnya, suntikan pelaburan itu dijadikan sebagai modal pinjaman supaya pengurusan syarikat apabila mendapat keuntungan, akan memulangkan semula dana berkenaan.
Katanya, suntikan dana itu bukan untuk menyelamatkan individu tertentu, sebaliknya bagi memastikan lebih 2,000 vendor yang bekerja mendapat bayaran mereka.
Tambah beliau, suntikan dana terbabit bukan diberi begitu sahaja, sebaliknya kerajaan memulakan langkah dengan menjalankan audit forensik untuk mengenal pasti masalah sebenar. – KOSMO! ONLINE