SEREMBAN – Sebuah syarikat pembinaan yang menjalankan projek kilang perubatan di Negeri Sembilan didenda keseluruhan RM112,000 di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan membenarkan 16 imigran haram untuk masuk dan tinggal di premis syarikat itu pada Februari lalu.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu ke atas Syarikat China State Construction Engineering (M) Sdn. Bhd. selepas How Eng Hwa, 34, yang mewakili syarikat terbabit membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Mahkamah menetapkan hukuman denda RM7,000 bagi setiap imigran dengan jumlah keseluruhan RM112,000 bagi 16 imigran haram.
Sekiranya gagal membayar denda, mahkamah turut memerintahkan wakil syarikat dipenjara enam bulan. Syarikat itu bagaimanapun membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, China State Construction Engineering (M) Sdn. Bhd. yang mempunyai kuasa terhadap premis projek didapati telah membenarkan 16 orang imigran haram untuk masuk atau tinggal di situ.
Kesalahan tersebut dilakukan di kawasan projek cadangan pendirian bangunan industri melibatkan fasa satu, dua dan tiga termasuk pembinaan sebuah unit kilang, blok asrama pekerja lima tingkat dan satu unit pencawang elektrik di atas Lot8323, Mukim Jimah di Port Dickson lebih kurang pukul 12.30 tengah hari, 6 Februari lalu.-KOSMO! ONLINE