RANTAU PANJANG – Cubaan seorang lelaki untuk menyeludup sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ dari Thailand gagal apabila dicekup semasa membawa motosikal tersebut di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kampung Banggol Kulim di sini semalam.
Lelaki berusia 31 tahun yang memandu MPV jenis Toyota Innova itu ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari semasa anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, anggota PGA menahan sebuah MPV dengan nombor pendaftaran Thailand selepas mendapati kenderaan tersebut dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam kenderaan itu membawa kepada penemuan sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ dianggarkan bernilai RM10,000 yang disyaki diseludup dari Thailand.
“Pemandu MPV itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan yang sah dan motosikal itu tidak dibawa masuk ke negara ini melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“Motosikal itu dibawa ke kompeni taktikal PGA Taman Bakti di sini untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE