fbpx

‘Saya banyak terima mesej gelarkan saya sundal, buruk, sendu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON Ellie Suriaty masih menunggu permintaan maaf secara bersemuka oleh Imran Bard berhubung isu menjenakakan namanya yang tular baru-baru ini.

PETALING JAYA – Tegas dengan pendirian, pelakon Ellie Suriaty memberi tempoh sehingga April ini bagi pemohonan maaf secara bersemuka daripada pempengaruh Imran Bard berhubung dakwaan mencalarkan imejnya sebagai penggiat seni.

Sekiranya tiada apa-apa tindakan daripada Imran, Ellie atau Ellie Suriaty Omar, 54, tidak teragak-agak akan membawa isu berkenaan ke pihak yang lebih arif untuk tindakan serius.

“Saya tidak akan senyapkan benda ini. Perkara ini ada kaitan dengan masyarakat. Bila namanya pempengaruh, dia akan mempengaruhi masyarakat sama ada baik atau buruk.

“Dalam hal saya ini lebih kepada buruk kerana saya banyak terima mesej yang menggelarkan saya sundal, rupa buruk, pelakon sendu dan pelbagai konotasi negatif lain.

“Sepatutnya dia jumpa saya sebelum bulan puasa lagi tetapi dia kata dia berada di kampung. Jadi saya bagi tempoh hingga hari raya nanti untuk dia datang jumpa saya.

“Kalau dia berdegil juga, saya serahkan pada Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada sidang akhbar dan Majlis Tayangan Program Raya Astro 2025, di Bandar Utama, sini, semalam.

Dalam masa sama, pelakon filem Memoir Seorang Guru itu memaklumkan wang ringgit tidak mampu membayar maruahnya yang sudah tercalar akibat tindakan remaja berusia 24 tahun itu.

“Selama tiga dekad saya bekerja keras untuk berada di kedudukan hari ini. Reputasi yang dibina selama ini tercalar disebabkan video yang dimuat naiknya itu.

“Berapakah nilai diri yang hendak diletakkan? Takkanlah nilai saya RM200,000, RM500,000 ataupun RM1 juta? Saya adalah anugerah Allah SWT.

“Saya berpegang pada janjinya untuk mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku. Saya nak tengok tanggungajwab bagaimana yang dia nak ambil,” jelasnya.

Bukan hanya itu, Ellie sempat menasihatkan tentang adab meminta maaf yang tidak sepatutnya dilakukan melalui telefon

“Agama Islam tak mengajar kita minta maaf melalui telefon.

“Kalau nak minta maaf, kena datang jumpa batang tubuh orang yang kita sudah sakitkan hatinya.

“Kalau betul pun dia minta maaf, saya akan nilai sama ada dia ikhlas ataupun terpaksa sebab takut kena hentam,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Ellie menuntut permohonan maaf daripada ibu bapa Imran yang didakwa mencalarkan namanya menerusi dua hantaran video dalam TikTok dengan kandungan berunsur fitnah.

Ellie kecewa apabila Imran memperlekeh reputasi yang dibinanya lebih tiga dekad menerusi konten dikongsikan.

Dalam kandungan video parodi berkenaan, pempengaruh berusia 23 tahun itu berseloroh seolah-olah menjadi juri sebuah pertandingan nyanyian dan menyebut nama Ellie kononnya mempunyai kaitan dengan bahan terlarang.

Tidak lama kemudian, Imran membuat permohonan maaf secara terbuka menjelaskan tujuan menggunakan nama Ellie terjadi secara spontan didorong oleh minat terhadap aktres terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI