ISLAMABAD – Satu rakaman video memaparkan beratus-ratus lelaki berebut untuk mengambil makanan percuma di luar sebuah masjid di Pakistan, lapor laman berita The Indian Express semalam.
Menurut hantaran media sosial yang tular, kejadian itu berlaku di Masjid Shah Faisal, Islamabad.
Rakaman tersebut menunjukkan kumpulan lelaki berpakaian tradisional berlari ke arah makanan sebaik melihat pinggan diletakkan di dalam kawasan masjid.
Berkongsikan video itu, seorang wartawan Pakistan menulis: “Ini bukan kawasan yang mundur. Ini adalah Masjid Faisal di kawasan paling maju di Pakistan, Islamabad.
“Iftar (makanan buka puasa) percuma diberikan dan warga Pakistan yang terdesak (bukan pengemis tetapi lelaki biasa) bergegas merebut bahagian mereka. Inilah keadaan rakyat Pakistan biasa dalam (negara) kuasa nuklear.”
Video itu telah mencetuskan kritikan berhubung keadaan ekonomi Pakistan dan keutamaan negara.
Ramai pengguna media sosial menyatakan kekecewaan mereka terhadap cabaran ekonomi negara itu. – AGENSI