SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan jelajah Ramadan di Selangor, hari ini dengan melawat Bazar Ramadan Seksyen 2, di sini.
Beliau meluangkan masa selama 20 minit bermula pukul 6.15 petang menyantuni peniaga dan pengunjung bazar Ramadan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi.
Sepanjang jelajah itu, Anwar turut melihat sendiri Inisiatif e-Wallet RM20 di bawah program Retail Digitalisation Initiative (REDI) yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ketika ini.
Salah seorang peniaga, Mior Mohd. Syukri Musa, 41, menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kesudiannya melawat peniaga di bazar berkenaan.
Bagi seorang pengunjung Abdul Ismail Abdullah, 60, memaklumkan Perdana Menteri sempat bertanyakan khabar dirinya lantas menjadikan bulan Ramadan kali ini menjadi detik manis untuk diingat. – KOSMO! ONLINE