SHAH ALAM – Pas Selangor menyatakan sokongan teguh terhadap Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk terus mengemudi parti itu meskipun wujud tuntutan pengunduran beliau atas faktor kesihatan dan peremajaan parti.
Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, kepimpinan Presiden parti itu sentiasa relevan dengan keadaan semasa termasuk kejayaan bersejarah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu, ketokohan Abdul Hadi terbukti apabila Pas bersama Perikatan Nasional (PN) berjaya meraih 22 kerusi di Selangor dan memerintah empat negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.
“Selagi rakyat dan ahli Pas memerlukan Tok Guru (Presiden), kami di Selangor akan terus mendukung beliau.
“Di bawah kepimpinan beliau, Pas bukan saja mengukuhkan pengaruh malah membawa PN ke tahap lebih tinggi. Ini zaman kita menang besar, kenapa pula mahu berundur?,” katanya pada sesi dialog dan Iftar Ramadan bersama media di Pejabat Perhubungan Pas negeri di sini, malam tadi.-KOSMO! ONLINE