PUTRAJAYA – Seorang lelaki yang juga pemegang kad bertaraf Pemastautin Sementara (MyKas) mengaut keuntungan antara RM4,000 hingga RM5,000 bagi setiap keping MyKad palsu yang dijual.
Lebih berani, tindakan mencetak MyKad palsu itu dilakukan di rumahnya di Pandan Indah, Ampang, Kuala Lumpur lengkap dengan pelbagai kelengkapan mencetak.
Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 31 tahun itu akhirnya terbongkar susulan serbuan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) baru-baru ini.
Mendedahkan perkara itu, Saifuddin berkata, suspek adalah suami kepada seorang wanita tempatan dan suspek ditahan susulan penahanan seorang lelaki pada 7 Mac lalu.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, JPN merampas set lengkap peralatan mencetak MyKad palsu, termasuk komputer riba, pencetak, mesin laminasi, cakera keras serta enam MyKad.
“Terdapat dua MyKad ditemui dalam serbuan itu manakala, empat lagi disahkan palsu. Lelaki itu dipercayai menjalankan kegiatan pemalsuan secara bersendirian, namun pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan wujud rangkaian lebih besar dalam sindiket ini,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Katanya, kedua-dua suspek sudah dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 11 Mac lalu dan didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki MyKad palsu serta kad pengenalan milik orang lain.
Saifuddin berkata, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan kepada suspek pertama manakala suspek kedua dipenjara 10 bulan dan denda RM3,000.-KOSMO! ONLINE