fbpx

‘Mula-mula macam tak percaya, ingatkan kena tipu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI Nurhaliza mulanya tidak percaya lagu Anta Permana menjadi antara pilihan Raja Charles III.

KUALA LUMPUR – Bukan sekadar jaguh kampung, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza melihat pencapaian Anta Permana yang menjadi antara lagu pilihan Raja Charles III sebagai bukti muzik tempatan memiliki daya tarikan tersendiri.

Ujar Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, penerimaan Raja Britain terhadap dendangan itu merupakan penghormatan dalam perjalanan seninya, sekali gus membuktikan karya tempatan setanding muzik antarabangsa.

“Komposer kita sebenarnya hebat. Kita mampu menembusi pasaran antarabangsa, cuma mungkin kurang diberi pendedahan.

“Sebab itu, apabila bertanding di luar negara, kita selalu mendapat perhatian dan sering membawa pulang kejayaan.

“Lenggok Melayu ini sangat sedap didengar. Alhamdulillah, saya anggap ini satu penghormatan. Tak sangka, dalam banyak lagu, terselit satu karya dari Malaysia,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah pelantun Cindai itu, dia terkejut mendengar berita tersebut, namun menyangka semua itu hanyalah berita palsu dan sekadar gurauan.

“Saya berterima kasih atas penghargaan ini. Semalam (Selasa), baru saya tahu tentang perkara ini. Mula-mula macam tak percaya, ingatkan kena tipu.

“Tapi pihak Apple Music sendiri mengesahkan, malah Universal Music turut memaklumkan perkara sama.

‘Alhamdulillah, saya gembira kerana lagu dari Malaysia terpilih menjadi antara pilihan Raja Britain,” ujarnya pada majlis pelancaran single baharunya, Raya Nak Ke Mana? di sini, semalam.

Terdahulu, lagu Anta Pemana menjadi salah satu daripada muzik pilihan Raja Britain, Raja Charles III sempena sambutan Hari Negara-Negara Komanwel.

Senarai lagu tersebut telah dikumpulkan menerusi platform Apple Music dengan tajuk His Majesty King Charles III’s Playlist.

Selain Siti, antara artis antarabangsa lain yang berada dalam senarai itu ialah Raye, legenda muzik Grace Jones, ikon reggae Bob Marley, serta diva pop Diana Ross. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI