PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil tindakan terhadap seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang disyaki memuat naik kandungan palsu bersunsur ‘3R’ menerusi akaun Facebook miliknya.
Menurut kenyataan MCMC, kandungan tersebut dipercayai dimuat naik pada 9 Mac lalu, yang mendakwa laungan azan melalui pembesar suara di Masjid Ayer Kuning tidak lagi dibenarkan ketika ini, menerusi rakaman video yang dimuat naik olehnya.
“Sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Balai Polis Taiping semalam (12 Mac 2025). Sebuah telefon bimbit serta satu sim kad telah disita bagi tujuan analisis forensik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, pasukan penguat kuasa MCMC menyerahkan notis kehadiran di bawah Seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kepada individu terbabit untuk siasatan lanjut.
Sabit kesalahan katanya, individu terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali.
MCMC menegaskan, orang ramai harus menggunakan platform media sosial secara bertanggungjawab dan tidak memuat naik kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian kaum serta agama di negara ini. – KOSMO! ONLINE