KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meluluskan peruntukan berjumlah RM1.85 juta kepada 14 hospital dan pusat perubatan bagi membantu meringankan beban pesakit yang memerlukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Haja Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, sumbangan itu diharapkan dapat memudahkan pesakit dalam aspek pembayaran bil rawatan, kos ubatan, serta keperluan lain yang berkaitan.
Katanya, MAIWP turut menyediakan bantuan khas berupa sebuah Coaster Bus kepada Hospital Kuala Lumpur bernilai RM229,000 bagi kegunaan pesakit dan waris.
“MAIWP turut bekerjasama dengan Persatuan Kebajikan Bakti Kasih Malaysia (PKBKM) bagi
menyalurkan sumbangan makanan berbuka puasa kepada 10,000 petugas barisan hadapan di hospital terpilih dengan jumlah peruntukan RM200,000.
“MAIWP menzahirkan penghargaan kepada para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan kerana sumbangan mereka memungkinkan program kebajikan ini terus dijalankan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sumbangan kepada Pusat Perubatan dan Hospital 1446H/2025M di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Tunku Azizah, di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, beliau bersama agensi-agensi hal ehwal Islam khususnya MAIWP akan sentiasa memberikan penumpuan kepada program-program kesejahteraan insan.
“la adalah terkandung dalam Teras 2, Pelan Transformasi Al-Falah yang menjadi dokumen untuk memperkukuh pentadbiran Islam di Malaysia.
“Inilah juga perkara yang sering diperingkatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua agensi Kerajaan memberikan fokus kepada inisiatif untuk membantu masyarakat di lapangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE