PETALING JAYA – “Kami akan kembali memeriahkan hari-hari anda.”
Demikian antara janji yang diberikan tiga penyampai radio segmen 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Radin Amir dan Azad Jasmin yang ketika ini direhatkan susulan video kontroversi didakwa melanggar sensitiviti perkauman baru-baru ini.
Menurut Nabil, dia terharu dengan sokongan dan doa yang diberikan orang ramai terhadap mereka bertiga sepanjang isu tersebut hangat diperdebatkan dalam media sosial.
“Alhamdulillah kami bersama kembali, rindu sebenarnya.
“Kami ambil kesempatan ini nak ucap terima kasih kepada semua sahabat, para pendengar setia Era FM yang banyak memberi komen, mesej dan sokongan 150 peratus kepada kami untuk terus bersemangat,” katanya dalam sebuah video semalam.
Bukan sahaja orang ramai, mereka juga merakam penghargaan buat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana banyak membantu dalam pelbagai urusan melinatkan kontroversi tersebut sebelum ini.
Tambahnya, mereka mengambil kesempatan untuk berehat seketika sepanjang tempoh digantung kerja ketika ini.
“Jadi kami nak beritahu pada semua bahawa Era FM dan Astro akan sentiasa bersama dengan kami untuk menghadapi ujian yang sedang kami lalui ini
“Kami sangat berterima kasih kepada semua pihak, termasuk pihak media, MCMC termasuk polis yang banyak memberi bantuan kepada kami
“Pada bulan mulia ini, kami nak ambil masa untuk berehat seketika dan insya-Allah akan kembali meriahkan hari-hari anda,” ujarnya.
Sementara, Azad berkata perkara paling utama ketika ini ialah setiap kaum dan bangsa perlu bersatu padu.
“Paling penting sekarang adalah kita sebagai rakyat Malaysia perlu bersatu padu, bekerja dan berdiri bersama selama-lamanya,” jelasnya.
Kelmarin, MCMC memaklumkan Maestra Broadcast Network System Sdn. Bhd. dikenakan kompaun RM 250,000, bagaimanapun lesen radio tidak digantung.
Kompaun tersebut yang dikeluarkan selepas menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara, adalah bagi kesalahan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan dan berkuat kuasa mulai 11 Februari 2025), iaitu memuat naik kandungan jelik melampau dalam akaun rasmi TikTok Era FM.
Pada 4 Mac lalu, MCMC diarahkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung video tular tiga penyampai radio Era FM yang didakwa mempersendakan upacara agama lain.
Susulan itu, Astro dalam kenyataan rasmi turut menggantung tugas tiga penyampai radio dan dua lagi kakitangan. – KOSMO! ONLINE