KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan caruman untuk program i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diterima pada tahun lalu adalah sebanyak RM2.6 bilion dimana peruntukan insentif kerajaan pada tahun tersebut sebanyak RM114.8 juta melibatkan 529,667 ahli.
Menteri Kewangan II, Datuk Amir Hamzah Azizan berkata, itu adalah peningkatan yang ketara berbanding jumlah insentif kerajaan RM54.7 juta kepada 383,082 ahli pada tahun 2023 dan RM33.2 juta insentif kerajaan kepada 291,743 ahli pada tahun 2022.
Katanya, jumlah caruman yang telah diterima untuk i-Saraan bagi tahun 2023 adalah sebanyak RM1.44 bilion berbanding RM888 juta pada tahun 2022.
“Skim i-Suri pula adalah program caruman sukarela yang mendapat bantuan insentif kerajaan bagi isteri Ketua Isi Rumah (KIR) atau KIR wanita yang berdaftar di dalam pangkalan data e-Kasih.
“Program ini bertujuan bagi mempertingkatkan kesejahteraan golongan suri rumah serta mengiktiraf sumbangan mereka kepada keluarga dan pembangunan negara,” katanya di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Mohd Hasbie Muda yang ingin tahu berapakah jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan untuk program i-Saraan dan i-Suri KWSP pada tahun 2023 dan 2024.
Tambahnya, tahun lalu, seramai 75,196 ahli telah menerima insentif kerajaan berjumlah RM11.4 juta di bawah skim program i-Suri yang mana bilangan penerima insenftif tersebut telah meningkat sebanyak 77 peratus berbanding 42,759 ahli pada tahun 2023.
“Kumpulan fokus bagi i-Suri adalah golongan miskin tegar dalam rekod e-Kasih. Sebagai bantuan subsidi bersasar kepada rakyat, kerajaan juga telah meningkatkan peruntukan ke tahap tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tahun ini kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion ringgit tahun lepas.
“Manakala, program i-Saraan berfokuskan kepada mereka yang telah mempunyai kemampuan tambahan bagi membina simpanan untuk persaraan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.