fbpx

Ismanira tidak dapat jawab soalan termasuk minat Zayn Rayyan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismanira (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh Ahmad Iqbal Rosli/Kosmo!

PETALING JAYA – Saksi pendakwaan kelima memberitahu Ismanira Abdul Manaf tidak dapat menjawab beberapa soalan yang ditanya termasuk minat Zayn Rayyan Abdul Matin pada hari kanak-kanak autistik itu hilang 5 Disember 2023.

Bekas pegawai penyiasat kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Superitendan Nor Zaharuddin Sanip, 42, berkata, pertanyaan itu gagal dijawab ketika beliau sendiri bertanya kepada Ismanira yang berada dalam kereta peronda polis (MPV) pukul 10.30 malam Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai di sini.

Pendakwa Raya: Berdasarkan soalan peguam ketika kamu sampai Inspektor Nina (Nina Syamimi Syamsuddin) mula ambil keterangan pengadu iaitu ismanira, kamu jawab tidak setuju, boleh terangkan?

Saksi: Sebab saya sampai, Inspektor Nina sudah berada dalam kereta MPV sedang ambil rakaman percakapan dan kemudian saya ada tanya ibu Zayn Rayyan macam mana hilang, bagaimana kejadian berlaku dan apa Zayn Rayyan minat, dia tidak dapat jawab, jadi saya arahkan Inspektor Nina untuk teruskan rakaman percakapan dalam kereta.

Saksi itu berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendawa Raya, Aqharie Durranie Aziz.

Terdahulu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Haresh Mahadevan, saksi itu tidak bersetuju apabila pihak pembelaan mencadangkan apabila saksi sampai di lokasi Inspektor Nina baru mengambil rakaman percakapan pengadu.

Dalam prosiding sama, saksi itu turut menafikan dia menerima tekanan daripada pihak atasan untuk menyelesaikan kes selain penglibatannya hanya untuk pencarian orang hilang dan tiada suspek.

Sebelum ini, Nor Zaharuddin dalam keterangannya mengarahkan Inspektor Nina Syamimi, 33, yang juga bekas pegawai penyiasat kes itu untuk menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan bomba, manakala beliau pula menghubungi Unit Anjing Pengesan (K9) Bukit Aman.

Nor Zaharuddin berkata, Unit K9 bersama dua anjing melakukan pencarian di kawasan belukar, anak sungai dan kebun meliputi radius 700 meter dari Blok R.

Bagaimanapun, saksi itu memberitahu, Unit K9 tidak dapat mengesan berikutan cuaca hujan, pencemaran bau dan kawasan yang dimasuki orang ramai.

Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira berusia 30 tahun sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas Zayn Rayyan, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI