PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di lima negeri susulan cuaca buruk sehingga pukul 12 tengah malam ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan berkata, negeri terlibat adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Sarawak.
“Di Kedah, hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang dijangka melanda daerah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.
“Selain itu, di Perak, kawasan yang berisiko adalah Kerian, Larut, Matang dan Selama serta Hulu Perak,” lapor MetMalaysia.
Tambah MetMalaysia, hujan lebat dan angin kencang juga dijangka melanda Sarawak di daerah Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah (Matu dan Dalat), Kapit (Kapit dan Belaga), Bintulu (Tatau), Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) serta Limbang. – KOSMO! ONLINE