MUAR – Cubaan dua lelaki tempatan meloloskan diri daripada polis tidak berhasil apabila dia diberkas selepas melarikan diri sejauh tujuh kilometer (km) dalam sekatan jalan di Jalan Pintasan di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, dua suspek berusia 24 dan 34 tahun itu diberkas kira-kira pukul 9 pagi.
“Kejadian bermula apabila polis cuba memberhentikan kereta jenis Honda City yang dipandu suspek di Jalan Pintasan. Namun, kedua-dua suspek enggan berhenti bagi tujuan pemeriksaan dan terus memecut.
“Anggota polis kemudian mengejar suspek hampir 7km sehingga ke lorong belakang Jalan Selasih, Taman Selasih, Sungai Abong sebelum menahan suspek di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.-KOSMO! ONLINE