SHAH ALAM – Seorang guru tadika berdepan detik cemas apabila anak perempuannya yang ditinggalkan dalam kereta dilarikan bersama kenderaan tersebut sejauh dua kilometer (km) dalam kejadian di Setia Alam di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6. 55 pagi dengan mangsa berusia enam tahun itu bersama kereta jenis Toyota Vios dijumpai semula kira-kira 50 minit kemudian di kawasan perumahan pangsapuri.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati guru tadika berusia 34 tahun telah menghantar anak keduanya di sebuah pusat asuhan kanak-kanak.
Katanya, anak sulungnya yang sedang tidur ditinggalkan dalam keretanya dengan enjin masih hidup dan pintu tidak berkunci.
“Setelah selesai menghantar anak, mangsa telah menyedari keretanya telah tiada dipercayai dicuri bersama seorang lagi anaknya yang masih di dalam kenderaan tersebut.
“Usaha mengesan kereta itu giat dilakukan sebelum ditemui dengan bantuan orang awam kira-kira pukul 7.45 pagi.
“Anak mangsa telah dijumpai semula bersama kereta yang dicuri berdekatan kawasan perumahan jenis pangsapuri yang jaraknya dua km dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati suspek merupakan seorang lelaki dipercayai ingin mencuri kenderaan tersebut tanpa menyedari terdapat kanak-kanak perempuan di dalam kereta itu.
Ujarnya, suspek yang terkejut mendengar kanak-kanak itu menangis terus memberhentikan kereta tersebut sebelum melarikan diri.
“Suspek juga bertindak mengambil beg tangan milik mangsa yang mengandungi kad bank, dokumen pengenalan diri serta dua unit telefon bimbit bernilai kira-kira RM2,000. Pemeriksaan mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khamsia Hung Mei Shuang di talian 016-8119560. – KOSMO! ONLINE