fbpx

All England: Servis batal ganggu emosi Aaron-Wooi Yik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON dan Wooi Yik berdepan kejutan apabila tersingkir di pusingan pertama All England selepas tewas kepada pasangan Denmark awal pagi semalam.

HAMPIR 10 pukulan servis dibatalkan umpire perlawanan menjadi salah satu faktor yang menyaksikan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton All England.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menyifatkan servis batal membabitkan Wooi Yik di set ketiga menyebabkan emosi serta fokus bekas juara dunia itu sedikit terganggu.

Jelas beliau, beregu lawan dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard juga ada melakukan beberapa kesilapan dari segi pukulan servis, namun tidak menerima sebarang teguran daripada umpire perlawanan.

“Pada set ketiga itu, bukanlah untuk berikan alasan, tetapi mengikut apa yang kami kira ada 10 pukulan servis Wooi Yik dibatalkan, sedangkan Denmark satu pun (pukulan servis) tidak batal walaupun ada ‘flick’.

“Keadaan itu sedikit sebanyak mempengaruhi emosi serta fokus mereka berdua. Aaron-Wooi Yik adalah pemain berpengalaman tetapi jika sampai 10 kali servis batal, memang akan beri kesan pada fokus,” katanya.

Pada perlawanan yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham awal pagi semalam, beregu No. 5 dunia itu dipaksa mengerah segala keringat sebelum tewas 16-21, 21-16, 18-21 dalam tempoh 64 minit.

Kekalahan itu sekali gus meranapkan hasrat ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi yang mahu menyaksikan Aaron-Wooi Yik muncul juara All England selain gagal mengulangi kemaraan ke pentas final seperti edisi tahun lalu.

“Pada set pertama, permainan Aaron-Wooi Yik agak pasif dan pergerakan juga agak perlahan dan lebih banyak menunggu. Saya fikir ini mungkin disebabkan transisi strategi di bawah Herry. Mereka mungkin masih belum menyesuaikan diri dan memerlukan sedikit masa,” ujar Rexy.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI