KUALA LUMPUR – Semangat juang tinggi berjaya dipamerkan beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah ketika mereka melayakkan diri ke pusingan suku akhir pada Kejohanan Badminton All England.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham sebentar tadi, bekas juara Terbuka Perancis itu menewaskan beregu Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-16, 21-14.
Walaupun Pearly mengalami kecederaan buku lali kiri ketika mendahului 14-8 di set kedua, namun mereka enggan mengibar bendera putih, sebaliknya mengambil keputusan untuk meneruskan permainan.
Walaupun beraksi sambil menahan kesakitan, namun Pearly seolah-olah mengabaikan kecederaan dialami apabila masih menampilkan aksi agresif sebelum memastikan kemenangan dan mara ke pusingan seterusnya.
Terdahulu, Pearly mengalami kecederaan pada buku lali kirinya ketika pertengahan set kedua sehingga menyaksikan dia terbaring di tepi gelanggang selepas melakukan pendaratan tidak sempurna.
Menjelang aksi suku akhir esok, beregu No.5 dunia itu dijangka berdepan laluan sukar apabila dijadualkan berdepan pilihan ketiga dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida yang menewaskan Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria. – KOSMO! ONLINE