SHAH ALAM – Sebanyak 1,000 pek bubur lambuk berjaya diagihkan kepada warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Ia dilakukan menerusi program Kongsi Berkat Bubur Lambuk Syarikat Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. (Mahsuri Dagang) dan Media Mulia Sdn. Bhd. dengan kerjasama Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM.
Penghasilan 1,000 bubur lambuk itu dilakukan 70 orang termasuk pelajar, kakitangan PFKM dan Media Mulia.
Pengedarannya setiap pek bubur berisi produk Mahsuri Dagang telah disempurnakan Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Dagang Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Tajudin Idris ;Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi dan Pengarang Kosmo! / Kosmo! Ahad, Wan Hasnan Wan Hasan.
Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang Sdn. Bhd., Mohd. Jazri Ikmal Hijaz memaklumkan, program tahun kedua itu memfokuskan kepada pelajar-pelajar Universiti Awam (UA).
“Hari ini di UiTM dan esok pula di sebuah universiti di Nilai, Negeri Sembilan. Pemilihan UA adalah selaras hala tuju kita dalam mempertingkatkan jenama Mahsuri Dagang kepada pelajar UA,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE