PUTRAJAYA- Tuduhan kononnya Islam ditindas dan berat sebelah susulan perbezaan denda dan kompaun membabitkan kes hina agama disifatkan sebagai suatu fitnah yang jahat serta tersasar jauh dari realiti dan fakta sebenar.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, masih ada pihak cuba memutar belitkan fakta berkenaan biarpun ia telah diizinkan oleh Timbalan Pendakwa Raya dan diputuskan oleh mahkamah.
“Saya sudah jelaskan yang dikenakan kompaun syarikat pemegang lesen iaitu Maestra Broadcast Sdn. Bhd. (pengendali radio Era) dan bukannya Era FM sendiri mahupun ketiga-tiga penyampai radio,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Fahmi berkata, bagi kes KK Mart, siasatan di bawah Kanun Keseksaan dan denda RM60,000 melalui keputusan mahkamah, manakala kes Harith Iskander dan Cecelia Yap di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) dan mereka adalah kategori individu, bukan syarikat. – KOSMO! ONLINE