fbpx

Trump tidak jadi naikkan tarif keluli, aluminium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Trump berucap pada mesyuarat suku tahunan Business Roundtable di Washington, D.C semalam. - AFP

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak akan menaikkan tarif ke atas semua produk keluli dan aluminium yang diimport dari Kanada kepada 50 peratus hari ini, lapor saluran berita CNBC. 

Keputusan itu dibuat enam jam selepas Trump mengumumkan rancangannya untuk menggandakan tarif sebagai tindak balas terhadap tindakan wilayah Ontario yang mengenakan cukai 25 peratus ke atas bekalan elektrik ke AS. 

Ketua Menteri Ontario, Doug Ford berkata, beliau telah menghentikan pelaksanaan surcaj itu selepas berbincang dengan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick. 

Penasihat dagangan White House, Peter Navarro mengesahkan bahawa kenaikan tarif sebanyak 50 peratus itu tidak akan berkuat kuasa hari ini seperti yang dirancang. 

“Lutnick telah melakukan kerja yang baik dalam rundingan itu,” katanya semasa ditemu bual oleh CNBC. 

Keputusan Ford untuk menambah surcaj ke atas negeri Michigan, New York dan Minnesota disifatkan sebagai tindak balas terhadap tarif 25 peratus yang dikenakan oleh Trump terhadap produk diimport dari Ottawa.

Ford juga berikrar untuk mengekalkan tindakan balasnya terhadap Washington sambil memberi amaran: “Ada seorang yang harus dipersalahkan jika kita mengalami kemelesetan, ia akan dipanggil kemelesetan Trump.”

Selepas mengadakan perbualan yang baik dengan Lutnick, mereka bersetuju untuk bertemu di Washington D.C pada Khamis bagi membincangkan perjanjian perdagangan tiga hala yang diperbaharui. 

Perkembangan itu menandakan perubahan terbaharu dalam perang dagangan yang semakin memuncak dan tidak dapat diramalkan antara AS dan Kanada. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI