BACHOK – Sepasang suami isteri terkejut apabila mendapati ikan cencaru berlada yang dibeli untuk dijadikan hidangan bersahur di sebuah gerai di tepi jalan di Tawang di sini semalam dipenuhi ulat berenga.
Seorang peniaga yang dikenali Ayuni, 34, berkata, dia mendapati bahagian perut ikan cencaru berlada itu dipenuhi ulat berwarna putih.
Katanya, dia membeli ikan itu bersama patin masak tempoyak dan tomyam di sebuah gerai menjual lauk-pauk dan air pada pukul 7 malam. Ikan cencaru berlada yang dibeli itu kemudian disimpan dalam peti sejuk untuk hidangan bersahur.
“Apabila bangun untuk sahur pagi tadi, saya panaskan lauk itu dalam ketuhar gelombang mikro untuk dimakan bersama suami.
“Selepas saya dan suami habis makan, saya baru sedar ikan itu dipenuhi ulat berenga yang sudah mati selepas ia dipanaskan di dalam ketuhar gelombang mikro,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Ayuni memberitahu, dia dan suami berasa loya dan meminum air dalam kuantiti yang banyak.
“Saya syak ikan cencaru itu dihinggapi lalat semasa peniaga menjual makanan tersebut di gerainya.
“Setakat ini, saya dan suami tidak mengalami sebarang simptom keracunan makanan seperti cirit-birit dan muntah. Kami cuma berasa loya dan geli kerana memakan ikan yang dipenuhi ulat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE