SUNGAI PETANI – Satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya didalangi warga tempatan tumpas dalam serbuan Ops Serkap oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah di Kuala Muda semalam.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd Zain berkata, dalam operasi pada pukul 7.10 malam itu, seramai 18 etnik Rohingya berusia 12 hingga 40 tahun diberkas di sebuah rumah yang dijadikan lokasi transit.
Turut ditahan dua warga tempatan disyaki menjadi dalang sindiket penyeludupan tersebut.
“Dalam serbuan itu, kesemua PATI dipercayai baru tiba dari negara jiran menggunakan jalan laut sebelum dipindahkan ke rumah transit.
“Mereka kemudiannya dipercayai akan diserahkan kepada saudara di negara ini dengan bayaran tertentu yang dikenakan oleh sindiket,” katanya di sini hari ini.
Berdasarkan maklumat dan risikan selama dua minggu, sindiket tersebut dikesan menggunakan jalan laut dan darat untuk melintasi sempadan Malaysia-Thailand bagi membawa masuk PATI ke negara ini.
Tambahnya, semua PATI yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.
“Sementara itu, dua rakyat tempatan yang menjadi dalang akan dibawa ke Mahkamah Sungai Petani untuk proses permohonan reman,” katanya. – KOSMO! ONLINE