SHAH ALAM – Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu melarikan diri ke rumah rakannya di Kuala Terengganu.
Pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di sini itu menaiki bas ke negeri tersebut sebelum dibawa ke balai polis oleh rakan lelaki yang dikenali menerusi Facebook.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati mangsa keluar dari rumahnya pada pukul 8 pagi pada Ahad lalu dengan memaklumkan ahli keluarganya ke rumah rakan.
Katanya, mangsa kemudiannya telah memastikan telefon bimbit.
“Mangsa menaiki bas di Seksyen 20 di sini ke stesen bas Bukit Jalil. Mangsa yang tiada hala tuju kemudiannya menumpang tidur di Surau Darul Bukit Jalil untuk dua malam.
“Remaja itu kemudiannya mengambil keputusan ke rumah rakannya di Kuala Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, rakannya kemudiannya terus menghubungi keluarga mangsa sebaik remaja berkenaan tiba di Kuala Terengganu.
Ini berikutan, katanya, ahli keluarga remaja itu ada memaklumkan bahawa mangsa telah lari dari rumah kepada rakan mangsa sebelum ini.
“Keluarga rakannya terus membawa mangsa ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk membuat laporan Polis.
“Ahli keluarga mangsa kemudiannya mengambil mangsa di Kuala Terengganu kira-kira pukul 5.11 petang tadi dalam keadaan selamat untuk pulang ke Shah Alam,” jelasnya.
Kosmo! semalam melaporkan hanya kerana ditegur leka bermain telefon bimbit dan dikenakan sekatan akses internet, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dilaporkan hilang dari rumah keluarganya di Seksyen 20 di sini sejak Ahad lalu. – KOSMO! ONLINE