JAKARTA – Perbuatan seorang remaja di Indonesia yang mengejek sekumpulan polis ketika cuba melarikan diri daripada ditangkap mengundang perhatian ramai, lapor portal berita Jawa Pos semalam.
Kejadian berlaku di Lumajang, wilayah Jawa Timur baru-baru ini.
Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @medsoszone memaparkan remaja itu menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.
Dia kemudian berdiri lalu menggoyangkan punggungnya ke arah anggota polis yang sedang membuat rondaan sebelum melarikan diri.
Situasi ceria bertukar duka apabila dia ditangkap dan dibawa ke balai berhampiran.
Dia turut menangis teresak-esak ketika bertemu dengan ibu bapanya di balai sebelum memohon maaf atas tingkah lakunya yang buruk.
Rakaman itu mencatatkan lebih 70,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Seeloknya dipenjarakan biar jadi pengajaran,” kata seorang pengguna media sosial. – AGENSI